Wednesday, May 06, 2015

Kad Prabayar: Kajian Syarikat Telekomunikasi Tidak Lagi Relevan

6 Mei 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan muktamad mengekalkan harga pembelian kad tambah nilai prabayar seperti sebelum pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) selain menyifatkan kajian syarikat telekomunikasi (telco) mengenai mekanisme harga pembelian itu tidak lagi relevan. 
http://images.says.com/uploads/story_source/source_image/260352/beeb.JPG
Menteri Komunikasi dan Mul­timedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kajian pihak telco hanya menawarkan dua pilihan yang tidak menyebelahi rakyat .

Jelasnya, kedua-dua pilihan yang dicadangkan pi­hak telco ialah pembelian kad tambah nilai prabayar pada harga RM10.60 dan apabila diaktifkan, pengguna menerima nilai RM10 manakala pilihan kedua, pembelian pada harga RM10 dan apabila diaktifkan, pengguna hanya menerima RM9.43.

“Bagi saya, buat masa ini, kajian ini sudah tidak relevan lagi kerana tidak ada pilihan ketiga iaitu beli RM10 dan pengguna mendapat nilai RM10. Saya meletakkan pilihan ketiga kerana ini adalah keputusan menteri. Insya-Allah kita akan melaksanakannya.

“Sebab itu saya mengambil keputusan pilihan ketiga di sini kerana ini kehendak rakyat, beli RM10 dapat nilai RM10, itu keputusan saya,” katanya sewaktu ditemubual dalam rancangan Suara Kita Hak Kita edisi khas terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bertajuk Top-up: Apa Masalahnya? malam tadi.

Tambah Ahmad Shabery, beliau sudah mengemukakan cadangan pilihan ketiga kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Katanya, ini merupakan satu perjuangan untuk memastikan pelaksanaan formula beli RM10, dapat nilai RM10 boleh berlaku.
http://www.mykmu.net/wp-content/uploads/2011/09/telco-resize.jpg
Mengenai wujud tanggapan yang mendakwa beliau cenderung menyebelahi telco, Ahmad Shabery menjawab, sebagai menteri yang dipilih oleh rakyat, beliau mesti berbuat sesuatu yang dikehendaki oleh kebanyakan rakyat.

Sementara itu. Ahmad Shabery turut menegaskan bahawa suatu masa nanti, jalur lebar dan Internet akan menjadi hak asasi rakyat dan bukan sekadar satu kemudahan.

Beliau berkata, pengalamannya ketika berada di beberapa buah kampung di Rompin, Pahang cukup menginsafkan apabila diberitahu anak-anak muda yang belajar di bandar, keberatan untuk pulang kerana tiada kemudahan Internet di kampung mereka.

“Insaf saya kerana pada waktu sekarang perkara seperti itu tidak boleh diterima. Menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan bekalan jalur lebar diberi kepada rakyat,” ujarnya.

Ahmad Shabery turut menggesa telco supaya menyediakan pakej-pakej khas perkhidmatan prabayar kepada golongan tertentu seperti pelajar dan mereka yang berpendapatan rendah.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment