Thursday, May 07, 2015
Keputusan PRK Permatang Pauh Tunjuk Simpton Positif Kepada BN – Zahid
7 Mei 2015, Permatang Pauh : Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang
Pauh menunjukkan simptom positif kepada Barisan Nasional (BN), kata
Pengarah Pilihan Raya Jentera BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Simptom positif ini memberi sinar baharu kepada perjuangan UMNO di
Permatang Pauh. Tahniah dan syabas kepada pengundi yang sebelum ini
berstatus hitam, kini telah memberi sokongan kepada BN,” katanya dalam
sidang akhbar di Pusat Operasi BN di sini, malam ini.
Beliau berkata walaupun tewas PRK itu namun, ia menampakkan perubahan dan peningkatan sokongan yang besar kepada BN.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang kerusi
Parlimen itu dengan majoriti 8,841 undi apabila memperoleh 30,316 undi
untuk mengalahkan calon BN Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi.
Dua lagi calon iaitu Salleh Isahak (Bebas) mendapat 367 undi dan
Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia memperoleh 101 undi.
Undi rosak ialah 843 undi.
Ahmad Zahid berkata BN telah mencatatkan kemenangan moral di
Permatang Pauh dan mahu jentera parti terus bersemangat dan bermotivasi
dengan angin perubahan di kawasan Parlimen itu.
“Isu-isu nasional yang dimanipulasi oleh pembangkang harus ditangani
segera melalui penjelasan agar ia tidak menjadi barah dalam minda
masyarakat.
“Kerajaan BN sedar Permatang Pauh amat dahagakan pembangunan dan
ingin melihat apakah yang mampu dilaksanakan Pakatan Rakyat kepada
masyarakat di sini dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya.
Menurutnya BN menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana kuasa rakyat adalah kuasa penentu mutlak.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri terkilan
dengan beberapa insiden tidak diingini sepanjang pilihan raya kecil itu
berlangsung.
Walaupun pasukan keselamatan mengadakan kawalan rapi, tetapi masih ada segelintir pihak yang menolak peraturan, katanya.
“Jika inilah bentuk demokrasi, pada hemat saya, ada harga mahal yang
perlu dibayar jika pemimpin pihak yang merestui perbuatan mereka ini
tidak menunjukkan demokrasi,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment