Tuesday, March 10, 2015
Jadikan Mesyuarat Cawangan Untuk Cerminkan Kekukuhan, Inklusif, Toleran dan Moderat UMNO
6 Mac 2015, Kuala Lumpur : Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor menyeru anggota di akar umbi yang bakal memulakan
mesyuarat UMNO peringkat cawangan agar meletakkan asas dan perjuangan
parti sebagai teras utama.
Katanya, ahli-ahli UMNO mesti memperlihatkan kepada masyarakat bahawa
parti tersebut adalah inklusif dengan asas tujuan penubuhannya adalah
untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan
martabat agama, bangsa dan negara.
“Sikap anggota UMNO yang toleran dan moderat mesti ditunjukkan bukan
sahaja sesama ahli dalam parti tetapi juga kepada masyarakat
keseluruhannya misalnya Ketua Cawangan, Ketua Wanita Cawangan, Ketua
Pemuda Cawangan, Ketua Puteri Cawangan, setiausaha-setiusahanya dan
semua anggota cawangan menjadi cermin kepada rakyat tentang bersatunya
UMNO itu sendiri,” katanya kepada UMNO-Online.
Jelas beliau, setiap ahli UMNO bertanggungjawab untuk mempertontonkan
kepada rakyat bagaimana kedudukan dan peranannya yang sentiasa
memikirkan masa hadapan negara dengan diisi kemajuan kepada semua warga
di dalamnya.
“UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai struktur organisasi yang
didukung oleh ahli-ahlinya di akar umbi dan mesyuarat Cawangan ini
adalah medan penting kepada parti untuk mendapatkan maklum balas dan
apa-apa perkara yang perlu dijadikan keutamaan.
“Kita perlu jadikan pesan Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun
Razak yang mahukan ahli UMNO menyelami permasalahan rakyat iaitu bukan
hanya ahli-ahli UMNO sahaja tetapi kepada kelompok masyarakat yang
dinaungi sebagai Ketua Cawangan atau Ketua Wanita, Pemuda atau Puteri
cawangan masing-masing.”
Tambahnya, walaupun UMNO itu sendiri mendukung perjuangan bangsa
Melayu namun khidmat yang diberi mencakupi keseluruhan rakyat kerana
Malaysia adalah sebuah negara majmuk dengan masyarakatnya berbilang
kaum, pelbagai agama dan budaya yang berbeza.
“Ahli-ahli di akar umbi adalah teras kekukuhan UMNO yang perlu terus
menjadi lambang kepada kerjasama dan keterbukaannya kepada semua pihak.”
Terang beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, tanggungjawab
bagi melaksanakan mesyuarat UMNO peringkat Cawangan ini bukanlah sekadar
untuk memenuhi tuntutan ROS sebagai sebuah pertubuhan tetapi juga atas
kesedaran kepada amanah dalam perjuangan.
“Saya harap semua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagaimana
surat pekeliling yang telah dihantar dan akur kepada tanggungjawab yang
ada iaitu memastikan Cawangan untuk menghantar borang 9 bersama-sama
dengan penyata kewangan selepas selesainya mesyuarat dibuat.
“Jika ada permasalahan yang berbangkit, sila hubungi Ibu Pejabat UMNO
untuk selesaikan masalah khususnya terhadap senarai keahlian di
peringkat cawangan dan bahagian agar persidangan di akar umbi ini akan
berlangsung dengan jayanya.”
Mesyuarat perwakilan UMNO cawangan akan bermula 13 Mac hingga 2 Mei
ini dengan jumlah cawangan yang layak bersidang ialah 20,776 membabitkan
ahli seramai 3,472,035. Bagi pergerakan sayap Wanita yang layak
melakukan persidangan ialah 19,871, Pergerakan Pemuda ialah 15,111
sementara bagi Pergerakan Puteri pula ialah 10,048 orang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment