Tuesday, March 10, 2015
Ke Arah Pelaksanaan GST- Manipulasi, Persepsi Negatif Jadi Mainan Pembangkang
9 Mac 2015, Kuala Lumpur : Tindakan pembangkang yang sering memberi
gambaran negatif dan memanipulasi segala bentuk usaha kerajaan untuk
kepentingan rakyat adalah sesuatu yang nyata menjadi modus operandi
mereka bagi membina persepsi semata-mata, kata Nor Azita Abdul Rahman,
Penolong Bendahari Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.
“Sebelum ini pun, apa sahaja usaha kerajaan seperti perbelanjaan bagi
membina Lebuhraya PLUS, Putrajaya, KLCC dan KLIA sering dimanipulasi
oleh pembangkang sebagai pembaziran dana awam, tetapi akhirnya kini ia
memberi manfaat yang besar dan dinikmati oleh rakyat,” kata beliau.
Begitu juga dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)
yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pada 1 April nanti turut menjadi
mangsa mainan politik pembangkang walhal ia satu dasar untuk
kemaslahatan atau kepentingan rakyat secara keseluruhannya, tambahnya
lagi ketika dihubungi oleh UMNO-Online.
“Ini kerana, cukai yang dikenakan, akan dikembalikan juga kepada rakyat dalam pelbagai bentuk faedah.
“Cukai ini dilaksanakan supaya kerajaan boleh membiayai pembangunan
sosio ekonomi termasuk menyediakan infrastruktur, pendidikan, penjagaan
kesihatan, kebajikan dan keselamatan negara dan lain-lain, semuanya demi
kepentingan dan kemaslahatan rakyat,” ujarnya.
Menurut Nor Azita lagi, kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah
kerajaan yang bertanggungjawab di mana terdapat pelbagai barangan
keperluan asas tidak dikenakan GST.
“Organisasi perniagaan yang berdaftar juga boleh menuntut kredit
cukai bagi setiap GST yang telah dimasuk kira dalam bekalan yang dibeli
untuk tujuan mengendalikan perniagaan,” katanya.
Sehingga kini, terdapat 160 negara di serata dunia yang telah
melaksanakan sistem GST. Kerajaan menetapkan kadar yang dikenakan hanya
enam peratus sahaja, antara negara yang terendah selepas Kanada dan
Nigeria dengan kadar lima peratus, lebih rendah dan sistematik
berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diamalkan sekarang
sebanyak 10 peratus.
“Dari sudut agama juga sudah jelas, Fatwa Kebangsaan juga telah
memutuskan bahawa hukumnya adalah harus bagi kerajaan melaksanakan
cukai, selagi terdapat keperluan dan kemaslahatan rakyat,” tegas beliau.
Beliau merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21
hingga 22 Oktober 2014 lalu, yang telah memperhalusi kajian terhadap GST
dan memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri
untuk mengutip cukai seperti GST yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan
Malaysia.
Ia bersandarkan selagi mana terdapat keperluan untuk negara dan
rakyat, dan pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak
antaranya seperti cukai yang dikutip hanya untuk memenuhi maslahah
dharuriyat dan hajiyat; bebanan cukai dikutip secara adil; cukai
dibelanjakan untuk maslahah ummah bukan untuk maksiat; agihan cukai
hendaklah bertepatan dengan ijtihad ulama semasa dan setempat.
Dipetik daripada sumber : Media UMNO.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment