Tuesday, March 10, 2015
Tengok Kelemahan Parti Sendiri, Jangan Jadi Bodoh Gesa Najib Letak Jawatan – Syed Ali
10 Mac 2015, Kuala Lumpur : “Tolong tengok kelemahan parti sendiri dan
jangan jadi bodoh gesa Datuk Seri Najib Tun Razak letak jawatan Menteri
Kewangan,” itulah peringatan yang diberikan Ketua UMNO Cheras, Datuk
Seri Syed Ali Alhabshee kepada Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.
Peringatan Syed Ali itu sebagai respon tindakan Naib Presiden Pas
sepertimana dilapor oleh portal berita malaysiakini dan
themalaysiainsider membuat laporan polis berkenaan 1MDB. Dalam laporan
tersebut Husam Musa menggesa Najib melepaskan jawatan Menteri Kewangan
agar proses siasatan berjalan lancar.
Kata Syed Ali, UMNO mempunyai kaedah dalam menyelesaikan segala
masalahnya dan tidak perlu sebarang campurtangan Pas yang sedang
berhadapan dengan krisis dalamannya menunjuk ajar parti ini.
Kini Pas jelas beliau lagi adalah parti yang dianggap lemah dan
sudah ditolak oleh rakyat gara-gara pimpinan parti itu tidak mempunyai
visi perjuangan yang jelas dan sering tidak sehaluan dengan komponen
parti Pakatan Rakyat, Dap dan PKR.
Menurut Syed Ali, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan sudah
memberikan jaminan semasa perjumpaan bersama Ketua-Ketua Bahagian UMNO
semalam bahawa Putrajaya tidak akan melindungi mana-mana pihak terbabit
dalam penyelewengan dan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebelum ini, 1MDB tegasnya sudah melalui audit forensik oleh firma
perakaunannya Deloitte turut mengesahkan bahawa syarikat berkenaan bebas
daripada penipuan dan salahguna kuasa.
“Putrajaya juga sudah mengarahkan Ketua Audit Negara mengaudit akaun
1MDB bagi mempastikan tidak wujud sebarang penyelewengan dalam urusniaga
syarikat berkenaan.
“Selepas Ketua Audit membuat siasatan, laporan akan diserahkan kepada
Jawatankuasa Kira–Kira Wang Negara (PAC) pula”, katanya dalam entri
terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.
Semuanya tambah beliau dilakukan kerana kerajaan mengamalkan sikap
telus dan mahu membuktikan kepada rakyat tiada sebarang unsur
penyelewengan dalam syarikat terbabit.
“Saya berasa pelik kenapa pemimpin PAS tidak sudah–sudah berasa busuk
hati dan dengki dengan pemimpin UMNO ini? Kerajaan sudahpun menjelaskan
akan menyiasat akaun 1MDB kenapa pula pemimpin PAS umpama cacing
kepanasan yang membuat laporan polis dan menasihatkan Najib meletakkan
jawatan Menteri Kewangan?
“Apakah pemimpin Pas tak ada kerja lain selain mencari salah UMNO?
Sepatutnya Pas selesaikan masalah dalaman parti itu yang membabitkan
Presidennya dari mencampuri urusan UMNO. Semua orang tahu wujud
perpecahan dalaman kronik dalam Pas yang membabitkan Timbalan dan Ketua
Penerangan Pas Pusat didakwa mahu menjatuhkan Presiden parti itu,”
ujarnya.
Syed Ali tidak menolak kemungkinan tindakan Husam Musa membuat
laporan polis berkenaan 1MDB kerana mahu mengalihkan kemelut dalaman
parti itu menghadapi proses pemilihan pada tahun ini.
Tindakan Husam Musa itu kata beliau jelas menunjukkan Pas kian
tersepit sehingga terpaksa menggunakan isu 1MDB untuk mengutip pengaruh.
“Bagi saya Pas sudah hilang hala tuju selepas hubungan parti itu yang
retak dengan Dap pasal hudud dan retak menanti belah dengan PKR yang
memberikan tumpuan pada kes Anwar. Itu sebabnya Pas terpaksa
mempergunakan isu 1MDB untuk menarik semula keyakinan rakyat kepada
parti itu.
“Di sini saya nak tegaskan kepada Husam bahawa pimpinan UMNO tidak
akan sesekali tunduk dengan sebarang tekanan dan desakan dari Pas itu.
Malah Datuk Seri Najib tidak akan meletakkan jawatan sebagai Menteri
Kewangan semata-mata desakan pemimpin Pas yang sudah muflis idea seperti
Husam,” katanya.
Dipetik daripada sumber : UMNO Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment