Tuesday, March 10, 2015

Projek Langat2 : Utamakan Kepentingan Rakyat Bukan Emosi Kepentingan Peribadi

10 Mac 2015, Kuala Lumpur : Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) Datuk Sohaimi Shahdan  melahirkan rasa kecewa dengan tindakan agresif Menteri Besar negeri terbabit, Azmin Ali berhubung tindakan kerajaan negeri untuk tidak meneruskan  perjanjian penstrukturan perkhidmatan industri bekalan air di Selangor.

Menurut beliau tindakan berkenaan seolah-olah seperti tikus membaiki labu yang akhirnya dikhuatiri bakal memberi kesan yang cukup panjang kepada pengguna air yang terlibat khususnya rakyat Selangor.

Beliau seterusnya mempersoalkan apakah perancangan seterusnya yang bakal diambil oleh Azmin selaku Menteri Besar dalam menghadapi masalah berkenaan kerana air merupakan kepentingan yang perlu diutamakan.

“Kita pun ingin tahu apakah masalah yang berlaku dan sekiranya melibatkan soal tanah dan pelbagai masalah lain, seharusnya tumpuan kepada penyelesaian itulah diberi penekanan dan bukannya mengambil tindakan yang sedemikian rupa.

“Kita tidak mahu rakyat terus menjadi mangsa kepada keadaan. Tindakan agresif tidak bertempat kita bimbang dan khuatir akan memberi kesan yang besar kelak kerana umum sudah mengetahui bahawa air  merupakan satu keperluan umum,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

langat2_medium_28022014-454x240

Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dilapor tidak akan meneruskan run­dingan perjanjian penstrukturan perkhidmatan industri bekalan air di negeri itu dengan kerajaan Pusat.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, tempoh rundingan tamat hari ini dan kerajaan PKR Selangor tidak berhasrat untuk menyambungnya.  “Mereka melanggar perjanjian dan tidak mematuhinya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Sohaimi seterusnya menambah asas apakah dan atas alasan apakah yang diambil oleh Azmin sehingga mewajarkan beliau mengambil keputusan yang merupakan satu tindakan yang merugikan rakyat negeri berkenaan.

“Kalau masalah tanah umpamanya…bincanglah elok-elok dan rundinglah secara baik kerana seperti yang saya katakan tadi air adalah sumber utama rakyat. Jangan nanti masalah timbul barulah terhegeh-hegeh untuk mengatasinya.

“Kenalah buat daripada sekarang dan ambil segala tindakan perlu dan bukannya bertindak sedemikian rupa. Bawalah berbincang dengan pihak-pihak berkaitan. Saya pasti ada jalan penyelesaiannya kerana ianya adalah untuk rakyat.

“Jangan kerana nyamuk seekor kelambu dibakar. Kalau begini sikapnya, yang rugi dan akan menerima tempias adalah penduduk dan rakyat negeri ini. Kita berharap Azmin berlapang dada dalam soal ini,” ujarnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment